Tumpuan :
Nasional

Tilam, kereta sorong bayi antara sampah halang kerja pendalaman Sungai Klang

Izham Hashim (kiri) meninjau projek pendalaman dan pelebaran Sungai Klang dengan pengukuhan tebing sungai dan pembinaan permatang (Bund) di Kota Kemuning, Shah Alam.

SHAH ALAM: Sampah besar dan kuantiti banyak termasuk tilam bersaiz besar, kereta sorong bayi, dan tayar antara yang ditemui tersangkut pada mesin pengorek yang digunakan dalam projek pendalaman serta pelebaran hilir Sungai Klang sejak dua minggu lalu.

Projek membabitkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer (km) itu dilaksanakan secara berperingkat dalam usaha mengurangkan risiko banjir seperti kejadian pada Disember tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Izham Hashim, berkata sampah antara faktor yang agak mengganggu projek berkenaan, namun menyasarkan dalam tempoh kurang setahun kawasan sensitif diselesaikan.

“Masalah besar kita adalah sampah dalam kuantiti banyak sebab 20 tahun tidak dikorek, lapisan demi lapisan (sampah), itu mengganggu sedikit kemajuan ataupun kelancaran projek pendalaman sungai ini.

“Semalam difahamkan tayar masuk terus dalam mesin pengorek (dregder). Apabila sangkut, kerja pengorekan terpaksa dihentikan, proses pemulihan dijalankan dengan dikeluarkan sampah-sampah ini. Ada juga sampah besar seperti ‘stroller’ bayi, tilam besar.

“Bagaimanapun, kita sasarkan dalam tempoh enam bulan ini, kawasan sensitif dan cetek ini dapat diselesaikan dari segi kedalaman sungai ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja pendalaman sungai itu di Kota Kemuning, di sini hari ini.

Izham berkata, pihaknya juga turut menambah sebuah lagi mesin pengorek jenis sama tetapi bersaiz lebih besar dalam usaha meningkat keupayaan projek pendalaman dan pelebaran sungai berkenaan.

“Dalam minggu depan kita akan dapat satu lagi ‘dregder’ untuk ditempatkan di blok satu. Blok satu adalah blok di muara sungai dekat dengan laut.

“Dalam tempoh dua minggu ini, setiap hari kira-kira 20 meter hingga 50 meter berjaya dikorek.. sampah banyak tersangkut, itu menyebabkan kelewatan kemajuan projek ini, sebab itu kita tambah ‘dregder’ dan akan tambah lagi bergantung pada keadaan.

“Saya ingin mengingatkan semua, ramai pandang isu sampah tidak penting tetapi ia mengganggu kerja-kerja pembaikan sungai, saliran, pengairan juga operasi pam kita,” katanya.

Katanya, projek yang diuruskan oleh Menteri Besar Selangor (Incorporated) menerusi subsidiarinya, Landasan Lumayan Sdn Bhd itu dijangka siap dalam tempoh lima tahun.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini