comscore
Tumpuan :
Nasional

Tikus, Najis Tikus Di Tempat Proses Ayam

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar meninjau sebuah rumah sembelihan ayam di Batu 14, Sandakan. – FOTO: NSTP

SANDAKAN: Sebuah rumah sembelihan ayam di Batu 14, di sini diarah tutup selepas didapati gagal memastikan penjagaan aspek kebersihan.

Dalam operasi bermula kira-kira 9.30 pagi tadi, Jabatan Kesihatan Daerah Sandakan melakukan pemeriksaan ke atas dua rumah sembelihan ayam.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebuah daripada premis terbabit didapati agak kotor dan diarahkan tutup.

“Pemeriksaan menemui tikus dan najis tikus di tempat proses ayam di rumah sembelihan berkenaan. Perbuatan itu adalah sangat serius kerana mereka membekalkan ayam berkenaan kepada masyarakat.

“Kebersihan dan keselamatan makanan yang dibekalkan harus dijaga dengan teliti,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Rumah Sembelih, di sini.

Dr Johari berkata, sebuah lagi rumah sembelihan ayam dikompaun RM2,500 kerana tidak mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

Menurutnya, kedua-dua rumah sembelihan itu pernah diarahkan tutup pada Mei lalu kerana tidak mematuhi PJKM.

Katanya, tindakan penutupan dan kompaun berkenaan diambil mengikut Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan Kebersihan Makanan Tahun 2009.

Loading...
Terkini