Tumpuan :
Nasional

TikTok beri jaminan teliti isu buli siber, budaya fitnah – PM

Anwar bersama Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Shou Zi Chew di Lima Pru. FOTO: Ihsan PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Pengendali platform media sosial, TikTok memberi jaminan untuk meneliti isu buli siber, ancaman scam dan budaya fitnah di platform berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, komitmen itu diberikan TikTok menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shou Zi Chew dalam pertemuan, di sini hari ini.

“Saya juga menyentuh isu seperti buli siber, ancaman scam serta budaya fitnah yang berleluasa di Malaysia menerusi TikTok.

“TikTok memberi jaminan untuk melihat permasalahan ini dan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Anwar berada di ibu negara Peru sempena lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Latin pada hari ini, selain menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.

Dalam pertemuan kira-kira setengah jam itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut membangkitkan beberapa perkara antaranya pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mulai 1 Januari tahun depan.

“Kami turut membincangkan kerjasama antara Kerajaan MADANI dan TikTok di Malaysia dan mereka memberi perakuan melanjutkan pelaburan secara besar-besaran,” katanya sambil menambah TikTok juga komited menyokong segala usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Bermula 1 Ogos lalu, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini