comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiket penerbangan: ‘Macam nak beli KFC tapi pergi McD’ – Anthony Loke

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menasihati bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang hanya memeriksa harga tiket penerbangan menggunakan satu aplikasi yang sama meskipun menggunakan tiga telefon bimbit.

“Dia (Ka Siong) hanya semak di airasia Super App yang menunjukkan tiket Kuala Lumpur-Tawau (KUL-TWU) kononnya untuk kelas ekonomi (bagi tiket Malaysia Airlines-MAS) berharga RM3,138. Tapi saya nak beritahu kepada Ka Siong, ada aplikasi khusus utk MAS yang mana harga tiket KUL-TWU pada 20 April ini pada jam 9 pagi, tinggal hanya kelas perniagaan berharga RM2,863.40.

“Mantan menteri takkan tak tahu bahawa MAS ada aplikasi sendiri. Kalau semak tiket MAS mengapa guna airasia Super App. Ini macam nak beli KFC tapi pergi McDonald’s, tak masuk akal,” katanya dalam sidang media berkenaan harga tiket penerbangan sempena Aidilfitri hari ini.

Semalam, Ka Siong mendakwa harga tiket kelas ekonomi KUL-TWU adalah RM3,138 hasil tiga semakan berasingan beliau menggunakan aplikasi yang sama.

Justeru, Loke berharap Ka Siong tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan orang ramai, malah mengajak Ahli Parlimen Ayer Hitam itu untuk menghadiri majlis pelepasan penumpang KUL-TWU di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada Khamis ini.

Berhubung isu pihak ketiga menjual tiket penerbangan, Loke memberitahu, beliau telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAB), Kapten Izham Ismail dan dimaklumkan MAS mempunyai pertikaian dengan AirAsia berkenaan isu tersebut.

Selain itu, katanya, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan melihat isu penjualan tiket di aplikasi berbeza supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga tiket.

“MAS sudah memfailkan injunksi terhadap airasia Super App daripada menjual tiket MAS dan kes akan didengar di mahkamah dalam beberapa bulan akan datang. Saya dimaklumkan MAS tidak memberi kuasa penjualan tiket di platform AirAsia.

“Bagaimanapun, tiket yang dibeli dari aplikasi itu masih sah, cuma saya nasihat pengguna untuk buat perbandingan daripada pelbagai sumber agar mendapatkan harga lebih murah,” katanya.

Mengulas lanjut, Loke berkata, hampir 80 peratus tiket sehala MAS kelas ekonomi bagi penerbangan KUL-TWU dijual di bawah RM841 untuk tempoh 19 hingga 25 April ini.

“MAS ada 48 pesawat 737-800 Max, semua pesawat ini dioperasikan secara optimum. Malah penerbangan raya kali ini, MAS guna pesawat Airbus 330 untuk penerbangan di antara Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak,” katanya menyangkal dakwaan pesawat MAS tidak digunakan sepenuhnya pada musim perayaan kali ini.

Loading...
Terkini