Tumpuan :
Nasional

Tiga wanita sesat ketika mendaki Bukit Kodiang

FOTO: Ihsan Bomba

KODIANG: Keseronokan tiga wanita mendaki Bukit Kodiang hari ini bertukar tragedi apabila mereka dipercayai tersesat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.46 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fauzi Md Jusoh tiba di lokasi bersama 10 anggota.

“Operasi turut disertai dua anggota polis, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan dua malim gunung.

“Tindakan awal yang dilakukan, seramai lima anggota Bomba bersama polis dan Rela naik ke atas bukit.

“Tiga wanita yang disyaki tersesat itu ditemui oleh malim gunung dan seorang daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian kaki.

“Kerja-kerja penyelamatan dilakukan di lokasi bagi membawa turun semua mangsa ke kaki bukit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Bustan berkata, kesemua mangsa berjaya dibawa turun ke bawah pada jam 1.45 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.50 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini