Tumpuan :
Nasional

3 termasuk dua beradik didakwa lakukan rompakan bersiri

KLANG: Tiga lelaki termasuk dua beradik di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan melakukan rompakan bersiri dan menyebabkan kecederaan sejak dua bulan lalu.

Keiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Tertuduh, Saimen Gunaselan, 26, dan Rishitharan Theivendran, 21, didakwa atas lapan pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan ke atas lapan wanita dalam kejadian berasingan antara 26 Oktober hingga 18 November lalu.

Rompakan tersebut didakwa dilakukan mereka ke atas wanita berusia 23 hingga 69 tahun di sekitar Taman Sentosa, Bandar Bukit Tinggi, Pandamaran dan Bandar Klang.

Mengikut pertuduhan, empat daripadanya didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan kecederaan dan empat lagi di bawah Seksyen 395 kanun sama.

Sabit kesalahan kedua-dua tertuduh yang dikatakan masih tinggal dengan kedua ibu bapa masing-masing itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Turut dituduh adalah abang kepada Saimen iaitu Alex, 28, dibawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan kerana secara tidak jujur menyimpan harta curian iaitu sebuah telefon pintar dimiliki seorang wanita berusia 58 tahun dengan pengetahuan dan mempercayai sebab ia diperolehi melalui perbuatan rompakan berkumpulan.

Pada prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi memaklumkan kepada mahkamah tiada tawaran jaminan diberikan kerana kesalahan dilakukan adalah serius dan tidak boleh dijamin.

“Mohon mahkamah menetapkan terus tarikh sebutan kerana tiada jaminan ditawarkan. Ini kerana kes yang disabitkan terhadap tertuduh adalah banyak dengan modus operandi yang sama selain terdapat kebarangkalian tertuduh melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh Atifah Muhammad memohon supaya mahkamah atas budi bicara membenarkan anak guamnya dibebaskan dengan jaminan dan bersedia mematuhi syarat tambahan.

“Saimen bekerja dengan pendapatan sekitar RM1,200 sementara Rishitharan pula bekerja dengan gaji RM100 sehari. Kedua-dua tinggal dengan ibu bapa masing-masing sementara Rishitharan pula sudah berkahwin dan mempunyai anak berusia dua tahun dan merupakan penanggung tunggal keluarga,” ujarnya.

Hakim Noridah Adam kemudian hanya membenarkan Alex diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes bagi kesemua pertuduhan ditetapkan pada 23 Januari depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini