![](https://media.buletintv3.my/2023/07/azam-baki.jpg)
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa tiga selebriti yang disiasat dalam Op Sky hanya menerima bayaran atas perkhidmatan yang diberikan, termasuk sebagai duta syarikat, dan tidak terlibat dalam aktiviti syarikat tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata ketiga-tiga selebriti itu tidak terbabit dalam pengurusan syarikat yang disiasat tetapi akan menjadi saksi dalam siasatan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML).
“Mereka dipanggil untuk membantu menjadi saksi kerana selebriti ini digunakan untuk mempromosikan syarikat tetapi tidak terbabit dalam menguruskan aktiviti yang dilaksanakan.
“Siasatan juga mendapati ada sejumlah wang dikeluarkan untuk membayar selebriti ini tetapi bayaran yang diterima itu adalah dibuat atas khidmat mereka dalam syarikat itu,” katanya kepada BH, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa duta syarikat yang disiasat dalam Op Sky, termasuk penyanyi Ziana Zain, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, telah memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Op Sky, hasil kerjasama SPRM dan Bank Negara Malaysia (BNM), menyasarkan aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan syarikat perunding kewangan dan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.
Seramai 27 individu, termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan, dan seorang orang awam, ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi itu, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank bernilai lebih RM17 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.