Tumpuan :
Nasional

Tiga sekeluarga maut, tiga cedera dalam nahas jalan raya di Setiu 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

SETIU: Tiga sekeluarga maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, Perodua Axia dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Jalan Setiu-Kuala Terengganu, jam 4.31 pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah pemandu Axia dikenali sebagai Nur Ardieana Kamarudin, 30; ibunya yang duduk di bahagian belakang kereta, Maimunah Mat Isa, 54, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, selepas mengalami cedera parah di kepala.

Manakala bapanya, Kamarudin Ibrahim, 55, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Daerah Setiu.

Seorang lagi anak mangsa, Nur Azwa Shamimi, 21, dilaporkan mengalami cedera parah di bahagian peha sebelah kanan, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kesemua mangsa berasal dari Telipot, Kota Bharu, Kelantan.

Empat sekeluarga itu dilaporkan dalam perjalanan ke pulang ke Kota Bharu.

Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu penjual sayur, Muhammad Maani Salleh, 24; bersama penumpang, Muhammad Adham Syahmie Mohd Syukri, 18, dilaporkan dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu.

Toyota Hilux itu dilaporkan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta yang dinaiki empat sekeluarga tersebut, menyebabkan ke semua mangsa tersepit.

Kedua-dua mangsa dilaporkan cedera ringan di bahagian lutut dan bahu.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut.

Mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini