KUCHING: Tiga mangsa ditemui rentung selepas rumah yang didiami mereka musnah terbakar dalam kejadian sekitar jam 7 malam tadi.
Menurut, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi PGO Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Sarawak, ketika kejadian, kesemua mangsa dipercayai terperangkap ditingkat atas rumah berkenaan.
“Mangsa Afandi @ Pandi Keli merupakan seorang pesara iaitu bekas Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Sarawak.
“Dua lagi mangsa iaitu anak kepada mangsa pertama Aneeqa Afandi@ Pandi,35 dan menantunya Nor Hasyidah Ajiz, 22 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan kepada media.
Beliau berkata, pihak bomba menerima pangilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.03 malam sebelum mengarahkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petrajaya dan Batu Lintang ke lokasi kejadian.
Anggota bomba mengambil masa kira-kira tiga jam bagi mengawal kebakaran sebelum operasi memadam ditamatkan sepenuhnya jam 11 malam.
Kebakaran itu memusnahkan sepenuh rumah teres dua tingkat terbabit.
” Turut musnah, empat buah kenderaan manakala sebuah kenderaan lagi musnah 50 peratus,” katanya lagi.
Mayat kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.