Tumpuan :
Nasional

Tiga rentung dalam kebakaran rumah di Ulu Tiram

Tiga maut termasuk seorang kanak-kanak apabila kediaman mereka di Kampung Oren, Ulu Tiram, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba

JOHOR BAHRU: Tiga individu dipercayai daripada satu keluarga rentung manakala seorang lagi mangsa, seorang kanak-kanak lelaki melecur di muka dan tangan dalam kebakaran sebuah rumah separuh kekal di Jalan Limau Manis, Kampung Oren, Ulu Tiram, awal pagi tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 2.30 pagi ketika semua mangsa sedang tidur.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan bomba dan penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 2.46 pagi.

Dua buah jentera bomba dari balai Johor Jaya dan Tebrau bersama 24 anggota bergegas ke lokasi diketuai pegawai bomba kanan dua, Rafiq Ahmad Sareng dan Pegawai Kanan bomba, Mohd Faiz Ramli.

“Sebaik tiba dilokasi, PKO mendapati terdapat empat mangsa terperangkap dalam kebakaran itu. Salah seorang mangsa iaitu seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun berjaya diselamatkan oleh anggota bomba. Beliau melecur di bahagian muka dan tangan dan diberi rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), ” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, tiga lagi mangsa gagal diselamatkan dalam kebakaran yang memusnahkan lebih 80 peratus rumah dan isinya.

Mangsa yang rentung adalah seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Dua mayat mangsa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan ditemui dalam bilik tidur manakala mayat seorang lelaki dewasa ditemui dalam bilik air.

“Manakala kanak-kanak lelaki yang berjaya diselamatkan berada di ruang tamu rumah dan anggota bomba terpaksa memecah grill pintu hadapan rumah untuk masuk menyelamatkan mangsa,” jelasnya.

Identiti semua mangsa masih belum dikenalpasti.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini