Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiga remaja lemas ketika mandi sungai

SIBU: Tiga remaja yang dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Batang Lassa berdekatan Nangar di Daro, kira-kira 125 kilometer dari sini, ditemukan lemas pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata mangsa pertama ditemui pekerja Feri kira-kira jam 6.56 pagi manakala mangsa kedua ditemui masing-masing pada jam 8.22 pagi dan 9.05 pagi.

“Kesemua mangsa ditemui pada jarak antara satu hingga empat kilometer daripada lokasi kejadian terbabit berlaku Ahad lalu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Herodias Enggung, Aldrin Gambang Allan Kiai dan Sebastian Oziel Seman Umpi, kesemuanya berusia 13 tahun.

Katanya, dalam kejadian Ahad lalu, kesemua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka sedang mandi di sungai terbabit sebelum dihanyutkan arus deras.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka dapat menyelamatkan diri.

“Sebaik sahaja menerima panggilan kejadian dari Balai Polis Daro pada 6.37 petang pada hari kejadian, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dengan kekuatan lapan anggota serta jentera terus digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi pencarian kesemua mangsa,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Jeti Batu Nangar, Daro bagi tujuan pengecaman sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini