SEPANG: Tiga lagi rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Sudan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Faisal, Jeddah, Arab Saudi jam 4.15 pagi tadi.
Ketibaan Junaidah Selamat, 49, bersama dua anaknya, Mohamad Ashraf, 19, dan Juliana, 23, disambut anak sulungnya, Ahmad, 25, yang baharu menamatkan pengajian di sebuah universitI swasta serta wakil Kementerian Luar.
Junaidah berkata, beliau bersyukur dapat selamat pulang ke Malaysia selepas berhadapan 22 hari konflik di Khartoum, Sudan dan berjaya meninggalkan Port Sudan dengan selamat, menggunakan kapal tentera laut Arab Saudi menuju ke Jeddah.
Katanya, beliau berasa sedih kerana suami, Ashraf Gasim Elsimd, 54, warga Sudan yang bertugas sebagai Ketua Jabatan, Universiti Sudan tidak dapat pulang bersama kerana tidak dibenarkan keluar dari negara itu.
Konflik bermula pada 15 April lalu ketika suaminya membawa pulang anak dari sekolah dan pada awalnya, berasakan ia perkara biasa disebabkan sebelum ini sering berlaku demonstrasi.
“Suami memberitahu, ada berlaku pertempuran dan pada keesokan harinya selepas azan Subuh kedengaran bunyi tembakan dari kereta kebal bermula 5 pagi hingga 7 pagi sehingga menggegarkan kediaman,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di KLIA, hari ini.
Junaidah yang berasal dari Jeram, Selangor berkata, beliau mendapat tahu daripada kakaknya yang tinggal di Malaysia memaklumkan Kedutaan Malaysia di Sudan akan membawa rakyat Malaysia keluar dari negara itu lalu mendaftar di sana.
Beliau yang berhijrah ke negara itu sejak 2003 berkata, sepatutnya pada Jun ini mereka sekeluarga merancang pulang ke Malaysia kerana cuti sekolah dan untuk memperbaharui pasport namun terkandas disebabkan perang meletus.
Selain Ahmad, Junaidah turut mempunyai seorang anak perempuan, Aziza, 19, yang kini sedang menuntut di sebuah pusat pendidikan di Perlis sejak 2021.
Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) tercetus sejak 15 April lalu dan setakat ini sekurang-kurangnya 528 orang terbunuh dan mencederakan kira-kira 4,600 orang.