Oleh: Juliana Sharin
PETALING JAYA: Tiga wanita yang juga perwakilan Dewan Muslimat Pas dari Sungai Petani, Kedah meninggal dunia akibat kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 390 Lebuh Raya Utara-Selatan, Behrang, Perak petang tadi.
Manakala lima yang lain dilaporkan cedera.
Mangsa ialah Taibah Sulaiman, 61, (Ketua Dewan Muslimat Pas Sungai Petani) Nor Fatihah Nabilah Bukri, 23, (Ketua Ameerah Sungai Petani) dan Najihah Amzi, 27, (Penolong Setiausaha Dewan Muslimat Pas Sungai Petani).
Ketiga-tiganya dikatakan dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, selepas menghadiri Muktamar Tahunan Pas ke-69 di Shah Alam sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan membabitkan empat kereta dan dua motosikal itu jam 2.30 petang tadi.
Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, katanya, sebuah pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dari Kuala Lumpur menghala ke Kedah, hilang kawalan lalu berpusing dan terbalik di longkang kiri jalan.
“Kemudian, tiga wanita yang juga ahli muslimah PAS Kawasan Sungai Petani yang menaiki kereta jenis Toyota Fortuner berhenti di lorong kecemasan untuk memberikan bantuan kepada pemandu Mitsubishi Triton itu.
“Turut berhenti di laluan kecemasan berkenaan adalah motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang seorang lelaki berusia 42 tahun; motosikal Honda EX5 (ditunggang lelaki berusia 46 tahun) dan kereta Perodua Myvi (dipandu lelaki berusia 31 tahun) bagi menghulurkan bantuan.
Tiga wanita yang juga perwakilan Dewan Muslimat PAS dari Sungai Petani, Kedah meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 390 Lebuh Raya Utara-Selatan, Behrang, Perak petang tadi. pic.twitter.com/GaGb4ddBbn
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 20, 2023
“Kira-kira lima minit kemudian, datang sebuah kereta jenis Toyota Altis dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah yang sama di lorong kanan, tiba-tiba hilang kawalan lalu terlanggar tiga wanita dan tiga lelaki tadi hingga kesemua mangsa terhumban ke dalam longkang di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Hasni berkata, kemalangan terbabit mengakibatkan Fatihah Nabila dan Taibah meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Nurul Najihah meninggal dunia di Hospital Slim River semasa menerima rawatan.
“Mangsa yang lain hanya mengalami kecederaan ringan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.