comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tiga pelanggan hampir dirempuh bas sekolah 

FOTO: Tangkap layar video tular

IPOH: Bersyukur umur masih panjang.

Itu yang diluahkan tiga individu apabila terselamat daripada dirempuh bas sekolah yang mengalami kegagalan brek di Taman Klebang Putra di sini.

Ketika kejadian pada 2.10 petang semalam, tiga individu itu sedang membeli makanan di gerai tepi jalan di kawasan perumahan berkenaan.

Menurut Amirul Arifin, 19, mereka mendengar bunyi besi jatuh sebelum terkejut melihat bas sekolah meluru ke arah mereka.

“Saya tidaklah terlalu hampir dengan bas kerana berada dalam kawasan gerai, namun tiga pelanggan berada di luar gerai dan mereka sempat mengelak.

“Alhamdulillah, mujur tiada kemalangan jiwa dan difahamkan bas itu berjaya dihentikan apabila sebuah motosikal pelanggan tersangkut di bawahnya,” katanya.

Insiden itu tular di media sosial dengan bas berkenaan dalam perjalanan menghantar pelajar pulang di kawasan Klebang Restu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai.

Katanya orang ramai di kawasan itu cuba membantu menghentikan bas sekolah berkenaan, malah ada beberapa bahagian pada bas itu ‘runtuh’.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi berkata, bas sekolah itu dipandu lelaki berusia 59 tahun dan terdapat tiga pelajar sebagai penumpang.

Katanya, insiden menyebabkan dua lelaki berusia 27 dan 29 tahun yang menunggang sebuah motosikal mengalami luka ringan.

“Siasatan mendapati bas dari SMK Tasek Damai menghala Klebang Restu untuk menghantar penumpang, mengalami kerosakan pada stering selain kegagalan brek.

“Ketika kejadian bas terlanggar penunggang dan pembonceng motosikal yang berhenti di bahu kiri jalan untuk membeli makanan. Pemandu dan penumpang bas tidak cedera,” katanya.

Loading...
Terkini