BACHOK: Tiga nelayan termasuk dua beranak yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan ditemui selamat di Pantai Belawan, Takbai, Thailand.
Menerusi maklumat awal, perahu sekuchi yang dinaiki mangsa dipercayai kehabisan minyak dan hanyut kira-kira 10 kilometer dari sempadan perairan negara.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim, Khairun Dalilah Baharin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mangsa jam 2.32 petang tadi.
Penemuan itu diperoleh hasil maklumat nelayan daerah Tumpat yang menghubungi pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan seterusnya memaklumkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai anggota di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC).
Katanya, mangsa, Rohaimi Ahmad,47 dan anaknya, Nik Muhammad Syafiqrullah, 21 dan rakan anaknya, Muhammad Amir Zulfikar Che Wil, 29 juga dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Kita hantar bot Perkasa 1233 ke sempadan dan kita mohon bantuan Polis Marin Takbai, untuk sahkan penemuan mangsa dan bantu iring bot ke sempadan dan kita akan iring ke Jeti Kuala Kemasin.
“Kelantan sekarang pun sedang berlaku perubahan monsun dan dianggarkan perahu mereka hanyut disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya pada sidang media di Jeti Kuala Kemasin, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.
Beliau berkata, keadaan perahu mangsa juga dilaporkan rosak dan akan ditunda Polis Marin Thailand sebelum akan disambung tunda Maritim Malaysia.
Semua mangsa dijangka tiba di jeti ini lewat petang nanti.
Sebelum ini media melaporkan tiga nelayan yang ke laut jam 3 pagi semalam dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke daratan.
Keluarga mangsa membuat laporan polis selepas kali terakhir berjaya menghubungi salah seorang mereka jam 10 malam namun panggilan tidak dijawab.
Artikel berkaitan : “Biasanya pukul 3 atau 4 petang mereka sudah balik bawa tangkapan…”