comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga nelayan hilang sejak empat hari lalu

Bot nelayan tempatan yang dinaiki tiga lelaki yang dilaporkan hilang. – Foto: MARITIM

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KEMAMAN: Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang dari menangkap ikan sejak empat hari lalu.

Ketiga-tiga nelayan, Mokhtar Yusoff (69), Mohd Sukri Mokhtar (46) serta Nasir Yusoff dikatakan keluar dengan vesel nelayan tempatan jenis A pada petang Ahad namun gagal dihubungi hingga kini.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim, Ariffin Ghazali, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Menurutnya, pihaknya mula mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) selepas menerima laporan daripada keluarga mangsa kira-kira pukul 2.15 petang tadi.

“Kesemua nelayan itu gagal dihubungi oleh keluarga mangsa dan difahamkan, biasanya mereka akan pulang setelah dua hari di laut namun sehingga kini, ketiga-tiga nelayan belum pulang.

“OP Carilamat telah diaktifkan sejak pukul 2.50 petang ini dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut dibuka di pekarangan pejabat Zon Maritim Kemaman,” katanya.

Sektor rondaan awal ditumpukan sehingga 30 batu nautika dalam radius perairan Kemaman bagi mengesan kedudukan vesel tersebut berikutan tiada maklumat spesifik tentang kedudukan terakhir vesel tersebut.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan mengesahkan turut menerima laporan kejadian itu jam 4.00 petang tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini