CAMERON HIGHLANDS: Kejadian tanah runtuh di kawasan penempatan semula Orang Asli, Kampung Sungai Ruil Golden Hill di sini hari ini mengakibatkan tiga buah motosikal tertimbus dan sebuah garaj kereta rosak.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai sebelas anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat pada jam 11.15 pagi hari ini.
“Pegawai operasi, Wan Ziadi Wan Mokhtar melaporkan kejadian tanah runtuh itu berlaku berdekatan perumahan tersebut melibatkan tiga buah motosikal tertimbus dan sebuah garaj kereta turut mengalami kerosakan.
“Kejadian tanah runtuh ini tidak melibatkan nyawa dan kecederaan mangsa, namun, 16 keluarga dipindahkan,” katanya di sini hari ini..
Menurut Zulfadli, anggota bomba telah membuat pemeriksaan di tempatkejadian dan mendapati masih berlakupergerakan tanah di tempat itu.
“Pihak bomba telah mengarahkan penghuni di 16 buah rumah di kawasan tersebut supaya mengosongkan kediaman masing-masing dan berpindah sementara ke tempat selamat.
“Mangsa yang terlibat telah dipindahkan ke dewan orang ramai Kampung Sungai Ruil,” katanya.
Katanya, anggota BBP Cameron Highlands terus membuat pemantauan di tempat dan punca kejadian masih dalam siasatan.