comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga wanita maut kemalangan di Segamat

SEGAMAT: Tiga wanita maut dalam kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda dan dua kereta di Kilometer 167, Jalan Johor Bahru-Seremban, di sini petang tadi.

Nahas dilaporkan berlaku sekitar jam 5.30 petang.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labis, Pegawai Bomba Kanan 11 (PBK 11) Zakaria Mohamed berkata kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Alza, Honda Jazz dan Toyota Hilux.

Setakat ini belum ada maklumat berkaitan identiti tiga mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam nahas itu beberapa mangsa turut dilaporkan parah.

Katanya, sepasukan 16 anggota dan pegawai dari BBP Bandar Labis dan BBP Bandar Baru, Segamat dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 5.55 petang.

“Kesemua mangsa yang maut telah dikeluarkan pihak awam dan anggota BBP Bandar Baru, Segamat yang tiba dahulu dilokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kesemua wanita yang maut menaiki Perodua Alza berusia 89, 66 dan 62 tahun beralamat di Simpang Renggam dan Benut, Johor.

Mayat dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kemalangan.

“Kita sedang kenal pasti semua identiti mangsa dan punca kemalangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...
Terkini