comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga maut dalam dua kemalangan berasingan di LPT2

Mayat Nur Hamizul dibawa anggota polis ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.-Foto: NSTP.

CHUKAI: Hasrat untuk menyertai perhimpunan pemilik motosikal Honda EX5 di Kuala Terengganu berakhir tragedi apabila tiga pemuda maut dalam dua kemalangan berasingan di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kemalangan pertama yang berlaku di Kilometer (KM) 322.4, dekat Kerteh, kira-kira jam 6.35 pagi itu mengorbankan dua penunggang iaitu Mohamad Alif Haikal Mohd Razali, 18, dari Desa Keratong Indah, Bandar Tun Razak, Pahang dan Muhammad Aliff Haiqal Abdullah, 23, dari Kampung Alai Melaka.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu bergesel sesama mereka sebelum terbabas.

“Berikutan kejadian itu, dua mangsa yang masing-masing bekerja di kedai makan tercampak di atas jalan dan meninggal di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Hanyan berkata, kemalangan kedua yang berlaku di KM 316.8 dekat Kerteh, kira-kira jam 11.50 pagi menyebabkan seorang lagi mangsa, Nur Hamizul Abu Bakri, 22, maut di tempat kejadian.

“Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kampung Ulu Slim, Slim River, Perak menunggang Honda EX5 dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya sebelum meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan kedua-dua kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengankutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini