Oleh: Fazli Ahmad
TEMERLOH: Polis mengesahkam dua kanak-kanak dan seorang remaja yang lemas di kolam latihan kereta kebal di Kem Batu Lima, Mentakab,hari ini, adalah anak anggota tentera bertugas di kem terbabit.
Dua kanak-kanak berusia 11 tahun, lemas dalam kejadian itu ialah Aiman Syafiq Sudirman dan Mohammed Shafiq Aswad Shahril Naim.
Kedua-dua mangsa murid tahun empat, Sekolah Desa Bakti, Mentakab.
Seorang lagi mangsa Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13, murid tahun enam sekolah sama.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, polis mendapat laporan mengenai kejadian itu pada jam 5:55 petang.
Menurutnya, berdasarkan laporan itu polis bergegas ke kolam terbabit.
Katanya, sebaik tiba dilokasi kejadian, polis mendapati anggota tentera sedang melakukan pencarian di kolam itu dan menemui semua mangsa.
“Hasil siasatan, polis dimaklumkan salah seorang rakan mangsa memaklumkan kejadian kejadian lemas itu kepada dua anggota tentera kira-kira jam 5:30 petang, Anggota tentera kemudian melakukan pencarian awal sebelum pasukan penyelamat tiba,
“Semua mangsa ditemui di dasar kolam sedalam kira-kira dua meter itu antara jam 5:55 petang dan 6:10 petang,” katanya.
Semua mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) di kem terbabit tetapi disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan tentera bertugas.
Menurutnya, semua mayat dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS) untuk proses bedah siasat.
Polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.
“Lokasi kejadian adalah kawasan larangan dan pihak tentera telah menutup tempat kejadian.” tambahnya.