comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga Logo Baharu Barangan Buatan Malaysia

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan tiga kategori logo barangan buatan Malaysia yang baharu, hari ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, logo baharu itu membabitkan peluasan kepada kategori Produk Malaysia, Buatan Malaysia dan Rekaan Malaysia.

Katanya, ia diperkenal bagi tujuan memberi peluang kepada lebih banyak syarikat untuk memohon dan mendapat pengiktirafan penandaan Logo Barangan Malaysia.

“Tiada bayaran dikenakan terhadap mana-mana pengusaha produk tempatan yang memohon untuk menggunakan tiga logo berkenaan dan penggunaannya adalah secara sukarela.

“KPDNHEP akan menguatkuasakan penandaan tiga logo baharu ini bermula 1 November nanti pada yang berminat.

“Ini akan memberi nilai tambah dan jaminan kualiti terhadap produk keluaran tempatan kerana penggunaannya perlu melalui prosedur dan tidak diberikan sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) sempena Karnival Beli Barangan Malaysia 2022 di pekarangan Angsana Mall Johor Bahru di sini, hari ini.

Nanta Linggi berkata, logo Buatan Malaysia sebelum ini sememangnya sudah popular dan diterima baik pengguna tempatan, malah mendapat maklum balas positif negara serantau.

“Dengan pelancaran tiga logo baharu ini kita harap identiti produk tempatan akan lebih dikenali lagi,” katanya.

Mengenai KBBM di sini yang bermula hari ini hingga Ahad, Nanta Linggi berkata, penganjurannya bagi meningkatkan semangat patriotisme Keluarga Malaysia terhadap barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia.

Katanya, ia akan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik, selain memupuk kesedaran masyarakat mengenai kualiti produk dan perkhidmatan buatan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Seramai 127 pempamer yang juga pengusaha barangan buatan tempatan terbabit KBBM termasuk 50 usahawan Johor.

Loading...
Terkini