Oleh: Kumaran Rajamoney
KAMPAR: Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat mengesahkan kejadian bot terbalik di Sungai Jahang yang mengorbankan tiga mangsa berlaku akibat kepala air yang terjadi selepas hujan.
Jelasnya, perubahan cuaca hujan selepas aktiviti meredah sungai bermula mengakibatkan arus sungai menjadi deras pada ketika bot hampir tiba di destinasi akhir.
“Bot yang terbalik ini dinaiki enam penumpang dan seorang pengendali. Kesemua penumpang dihanyutkan dengan tiga mangsa tidak dapat diselamatkan dan lemas.”
“Kesemua mangsa yang lemas bagaimanapun berjaya dibawa ke tebing,” katanya.
Mangsa yang meninggal dunia adalah Suhaili Mat Saad, 47 dari Nibong Tebal, Pulau Pinang, Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37 dari Langkawi dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29 dari Jitra, Kedah.
Mangsa difahamkan sebahagian dari 22 peserta daripada Jabatan Kerja Raya Seberang Perai Tengah dan Langkawi.
Dalam pada itu, mayat kesemua mangsa tiba di Unit Forensik Hospital Kampar kira-kira jam 9.55 malam untuk bedah siasat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.