Oleh: Fazli Ahmad
TEMERLOH: Dua kanak-kanak dan seorang remaja dilaporkan lemas ketika menceroboh serta mandi di kolam latihan kereta kebal di Kem Batu Lima, Jalan Temerloh – Karak, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, dua kanak-kanak lelaki dilaporkan lemas itu berusia 11 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun.
Menurutnya, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Termerloh bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kejadian itu pada jam 5:55 petang.
Ujarnya, berdasarkan maklumat kolam latihan kereta kebal itu sedalam kira-kira dua meter.
Katanya, semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSAS) di sini dengan ambulans tentera.
“Bagaimanapun semua mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai kesihatan sebaik tiba di hospital terbabit.” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi, maklumat awal diterima, empat kanak-kanak dilaporkan mandi dan lemas di kolam terbabit.
Susulan itu katanya, pasukan bomba membuat pencarian dengan mengepam air di kolam terbabit.
“Bagaimanapun selepas siasatan dilakukan hanya dua kanak-kanak dan seorang remaja dilaporkan mandi di kolam berkenaan.
Semua mayat di hantar ke bahagian forensik, HOSAS untuk proses bedah siasat dan identiti mangsa belum diperolehi.