comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga lagi ladang babi di Pulau Pinang dijangkiti ASF

Chow Kon Yeow

GEORGETOWN: Tiga lagi ladang babi di Pulau Pinang merekodkan kes baharu jangkitan penyakit demam babi Afrika atau ‘African swine fever’ (ASF), menjadikan jumlah keseluruhan ladang terkesan wabak itu kepada 21 setakat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kes jangkitan ASF masih membabitkan ladang di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) setakat semalam.

“Seperti diumumkan dahulu, ASF adalah virus yang senang merebak menjadikan jumlah ladang yang terbabit 21 berbanding 18 sebelum ini.

“Namun untuk mengatakan keadaan bertambah buruk, terdapat ladang yang didapati negatif ASF hasil ujian saringan yang dilakukan jadi situasi ini akan dipantau secara berterusan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kon Yeow memaklumkan dalam tempoh ini sejumlah 4,204 ekor babi daripada empat ladang di SPS selesai dilupuskan sepenuhnya.

Beliau berkata pemilik ladang terbabit perlu tampil terutamanya bagi tujuan permohonan pampasan yang akan diuruskan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Dalam dua tiga hari ini kita akan buat persiapan meneruskan usaha (pelupusan babi) jadi penternak perlu tampil kerana sudah diumumkan ada pakej pampasan.

“Jadi mereka perlu memaklumkan kepada JPV untuk mengesahkan bilangan ternakan yang dilupuskan baru boleh mengemukakan tuntutan.

“Lagipun ini adalah wabak yang perlu dimaklumkan apabila berlaku dan ia turut termaktub di dalam akta dan wajib dilaporkan sekiranya terdapat kes jangkitan dalam ladang,” katanya.

Difahamkan nilai pampasan babi dewasa bernilai antara RM400 dan RM800 dengan penternak perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.

Khamis lalu media melaporkan sebanyak 18 ladang babi dengan jumlah 48,194 ekor babi terjejas akibat ASF di negeri ini.

Berdasarkan rekod, terdapat sejumlah 124 ladang ternakan babi beroperasi di Pulau Pinang iaitu sejumlah 64 di SPU, 52 di SPS, empat di SPT dan empat di bahagian pulau membabitkan sejumlah 267,348 ekor babi.– BERITA HARIAN

Loading...
Terkini