ISKANDAR PUTERI: Tiga unit kilang di Kawasan Perindustrian SILC di sini, dilaporkan terbakar pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd Faiz Suleiman berkata, satu daripada kilang itu dipercayai ada menyimpan bahan kimia dan menyebabkan letupan.
“Terdapat tiga unit kilang yang terbakar. Salah satunya ada penyimpanan bahan kimia termasuk ‘thinner’. Memang ada letupan berlaku, tetapi tiada kecederaan kepada anggota kita,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi Mohamad Anuar Mohamad Amdzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 11.33 pagi tadi.
Tiga kilang terbakar, cetus pencemaran bau
Sumber media sosial pic.twitter.com/VV6PBWVKKQ
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 10, 2024
Menurutnya, operasi pemadaman mendapat bantuan dari BBP Larkin, BBP Skudai, BBP Pekan Nenas, BBP Pontian Baru dan BBP Sebana Cove membabitkan 39 anggota bomba.
“Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan dan operasi pemadaman masih lagi dijalankan,” katanya.
Terdahulu, tular insiden kebakaran itu yang didakwa menyebabkan letupan dan mengakibatkan berlaku pencemaran bau toksik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.