KOTA BHARU: Tiga kes lemas akibat banjir direkodkan sejak tempoh monsun timur laut bermula 21 November hingga semalam (25 Disember).
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kes terbabit membabitkan seorang kanak-kanak lelaki di Kubang Kerian, Kota Bharu dan dua kanak-kanak perempuan di Pasir Mas.
“Empat lagi kes kematian adalah mangsa mati lemas dan mati mengejut tetapi bukan akibat banjir.
“Orang ramai dinasihatkan agar cakna mengenai keselamatan anak-anak di bawah jagaan masing-masing yang bermain air tanpa pengawasan serta sentiasa berwaspada dan sentiasa patuh pada arahan serta panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Orang ramai terutamanya golongan remaja bermotosikal diingatkan supaya tidak pergi ke tempat banjir dan seolah-olah berpesta kerana perbuatan itu akan mengundang risiko kemalangan. Ia juga mengganggu kelancaran kenderaan petugas sekali gus akan merencatkan kerja menyelamat dan perpindahan mangsa banjir,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Beliau juga berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi MTL yang bermula pada pertengahan November dan dijangka berakhir pada Mac tahun depan.