KUALA LUMPUR: Tiga kenderaan dihempap sebatang pokok sebatang pokok yang tumbang di susur masuk Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) hala ke Ampang, hari ini.
Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat dan angin kuat yang melanda beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, petang tadi.
Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan kejadian berkenaan pada jam 3.19 petang.
Sepasukan lapan anggota bersama satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi kemudian dikejarkan ke lokasi untuk tugas menyelamat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Rosli Ibrahim, berkata tiga kenderaan terbabit dalam kejadian itu terdiri daripada Perodua Alza, Perodua Myvi dan Proton Exora.
“Terdapat enam mangsa dalam tiga kenderaan terbabit terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita dewasa.
“Kesemua pemandu dan penumpang tiga kenderaan terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pasukan bomba dibantu pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kemudian melakukan kerja memotong, mengalih dan membersihkan pokok yang tumbang.