KUDAT: Tiga kanak-kanak ditemukan lemas selepas dipercayai mandi di dalam kolam tapak pembinaan di Kampung Perpaduan Ria 1, di sini, hari ini.
Mangsa yang maut Wan Hermi, 11 dan Mohd Syahwan, 7, manakala kanak-kanak perempuan Nurul Isah, 11.
Ketika kejadian difahamkan tiga kanak-kanak terbabit sedang mandi di dalam kolam yang digali untuk tujuan pembinaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.36 petang.
Justeru sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, ketiga-tiga mangsa sudah dibawa keluar dari kolam oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mereka kemudian diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh pegawai perubatan dan pasukan EMRS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kudat,” katanya.