Tumpuan :
Nasional

Tiga kadar bayaran zakat fitrah ditetapkan MAINPP

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (tengah) menunjukkan tiga kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan bagi tahun ini. – FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Umat Islam di Pulau Pinang diberi pilihan membayar zakat fitrah dalam tiga kadar, ditetapkan berdasarkan jenis beras yang dimakan serta mengikut kemampuan masing-masing.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata kadar zakat fitrah tahun ini ditetapkan pada bayaran RM7, RM14 dan RM21.

Katanya, penetapan kadar itu dibuat selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Tiga kadar zakat fitrah yang ditetapkan ini memberi peluang kepada umat Islam negeri ini yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar yang lebih tinggi.

“Bagi mereka yang kurang berkemampuan dan mempunyai tanggungan ramai boleh membuat bayaran zakat pada kadar RM7 seperti ditetapkan pada tahun lalu.

“Kadar bayaran RM14 dikhususkan bagi kumpulan yang memakan beras rebus, beras Siam, beras putih import, beras perang atau setara dengannya, manakala bayaran RM21 ditetapkan bagi golongan yang memakan beras wangi, beras pulut, beras basmathi, beras Herba Ponni, beras Calrose atau setara dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman kadar zakat fitrah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Amran Hazali di Masjid Al Muhajirin, Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah dan Sumbangan Ehya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tahun 1445H/2024M.

Jelasnya, terdapat sedikit kenaikan pada bayaran zakat fitrah bagi kategori kadar dua dan tiga berbanding tahun lalu.

Mohamad berkata, ZPP melantik seramai 1,699 amil zakat fitrah membabitkan 237 pusat kutipan dengan menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM7 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini