KEMAMAN : Ibu kepada Zahidah Hanisah Mohamad, 35, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 267.1 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Cheneh, petang semalam reda dengan pemergian tiga insan tersayang dalam sekelip mata.
Artikel berkaitan : Kanak-kanak mangsa nahas di LPT2 meninggal dunia
Dalam nahas jam 4.10 petang itu, Zahidah, suaminya, Mohd Riduan Mohd Yaacob, 35, maut di lokasi kejadian manakala anak bongsu mereka, Raudhatul Khayra, 3, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), hari ini.
Pesara guru yang enggan namanya disiarkan berkata, cukup sedih mengenangkan nasib cucu, Muhammad Uwais Wafiuddin Mohd Riduan, 8, yang kini tinggal bersendirian selepas ibu bapa dan adik perempuannya pergi menghadap Ilahi.
“Saya tidak putus berdoa agar Muhammad Uwais segera sembuh dan saya bersama ahli keluarganya akan menjaga dia dengan sebaik mungkin ,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ujarnya, hubungannya dengan cucu sangat rapat kerana dia menjaga Muhammad Uwais dan Raudhatul Khayra ketika kedua-dua ibu bapa mereka bekerja.
“Saya akan jaga Muhammad Uwais sebaik mungkin dengan penuh kasih sayang dan saya nak dia belajar dengan cemerlang dan menjadi anak yang berjaya dalam pendidikan,” katanya.
Katanya, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu membawa anak mereka ke Kuantan kerana menantunya, Mohd Riduan hendak melakukan rawatan kaki.
“Dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Raja Teluk Pasu, Kuala Terengganu mereka terbabit dalam kemalangan itu.
“Saya sungguh terkejut dan sedih bila mendapat berita anak dan menantu saya itu meninggal serta-merta di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, Zahidah anak yang baik dan menuruti apa saja permintaannya.
“Kali terakhir arwah sempat membawa sate yang saya pesan. Saya tidak sangka keinginan saya menikmati sate bersama arwah adalah kenangan terakhir.
“Apapun saya tetap reda dan berharap supaya roh anak, menantu dan cucu saya ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh,” katanya.
Katanya, jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati, Kuala Terengganu sebaik proses bedah siasat selesai.