Oleh: Kumaran Rajamoney
SUNGAI PETANI: Tiga gudang penyimpanan barangan terpakai sebuah kilang di Bukit Selambau di sini musnah dalam satu kebakaran, berserta letupan seperti bunga api lewat petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin dalam satu kenyataan memaklumkan kebakaran berjaya dikawal sekitar 10 malam tadi.
“Terdahulu, pihak JPBM menerima laporan kejadian sekitar 7.57 petang. Kejadian kebakaran agak besar melibatkan kawasan seluas hampir 600 meter persegi.”
“Gudang kilang ini menyimpan barangan terpakai seperti logam tembaga dan wayar. Setiap gudang dianggarkan berkeluasan 120 kaki persegi. Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) telah dihubungi untuk ke lokasi,” katanya.
Tiada mangsa dilaporkan terperangkap dalam struktur bangunan itu.
Usaha pemadaman dilakukan dengan kekuatan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, BBP Sungai Petani, BBP Kulim Hi-Tech dan BBP Kulim-Yan.
Pemadaman kebakaran itu turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Selambau, PBS Jeniang, PBS Semeling, PBS Bedong, PBS SIk, PBS Gurun dan PBS Kota Sarang Semut.