PAGOH: Dua lelaki dan seorang wanita dipercayai warganegara Myanmar ditemukan maut di dalam sebuah kereta di hentian rawat dan rehat (R&R) Yong Peng, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di Pagoh, Johor, malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Suhairulair Sarip berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 8.59 malam dan seramai enam anggota bersama satu jentera digegaskan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi, anggota bomba mendapati ketiga-tiga mangsa yang terperangkap di dalam sebuah kereta Perodua Alza telah dikeluarkan oleh orang awam dengan memecahkan cermin kereta sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Semua mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).’ katanya.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.” jelasnya.
Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Mangsa dipercaya dua lelaki berusia 25 dan 23 tahun, serta wanita berusia 27 tahun, semuanya dipercayai warganegara Myanmar dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.