JOHOR BAHRU: Tiga cedera manakala 18 lagi terselamat selepas sebuah bas ekspres dilaporkan melanggar bahagian belakang sebuah lori di kilometer 35.3 Lebuhraya Utara-selatan, arah selatan awal pagi tadi.
Kemalangan dilaporkan berlaku jam 3.15 pagi tadi ketika bas yang membawa 22 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan ke Johor Bahru dari utara.
Menurut kenyataan pusat gerakan operasi (PGO) Jabatan bomba dan penyelamat Johor, pihaknya menerima panggilan jam 3.24 pagi.
Susulan itu dua jentera dari balai bomba Pulai dan Simpang Renggam dikejarkan ke lokasi diketuai Pegawai bomba kanan dua, Mohd Khairi Buang.
“Sebaik pasukan penyelamat tiba dilokasi mendapati sebuah bas ekspres yang membawa 22 penumpang termasuk pemandu telah melanggar bahagian belakang sebuah lori.
“Mangsa terdiri dari 11 lelaki dan 8 wanita. Tiga daripada penumpang termasuk dua lelaki dan seorang wanita cedera manakala bakinya lagi termasuk pemandu terselamat,” katanya.
Jelasnya, pasukan penyelamat mengeluarkan 2 orang mangsa menggunakan stretcher dan seterusnya menghantar mangsa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa yang lain diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemandu lori serta lori telah meninggalkan lokasi kemalangan.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.