comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga bot nelayan asing ditahan, rampasan bernilai RM5.4 juta

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi (tengah) ketika melihat 40 kru termasuk tiga tekong nelayan asing Vietnam yang ditahan dengan rampasan bernilai RM5.4 juta di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali, Pasir Puteh. – FOTO: NSTP

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga bot nelayan asing Vietnam menceroboh perairan negara dengan rampasan bernilai RM5.4 juta.

Tangkapan dibuat pada 16 April lalu pada kedudukan sekitar 124 hingga 135 batu nautika dari muara Tok Bali, Pasir Puteh.

Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, tangkapan dibuat ketika kapal penguasa maritim sedang melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam dalam Op Damai, Op Naga Barat, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut.

Katanya, penahanan itu adalah tangkapan terbesar tahun ini pada hari terakhir fasa tiga Op Khas Pagar Laut pada jam 3.49 hingga 5.47 petang.

“Tangkapan membabitkan tiga bot, 8,700 kilogram hasil laut pelbagai jenis ikan, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel sebanyak 2,900 liter.

“Berdasarkan baki diesel pada bot, kita dapati mereka sudah berada di perairan melebihi satu minggu,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di ibu pejabat maritim negeri di Tok Bali, di sini, hari ini.

Erwan berkata, seramai 40 kru termasuk tiga tekong berusia 18 hingga 62 tahun warganegara Vietnam ditahan dalam tangkapan itu.

Kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Manakala tiga tekong disyaki melanggar Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan kepada pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

Kesemua kru akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini