Tumpuan :
Nasional

Tiga bilik darjah, makmal dan kantin SJKT Ladang Ayer Tawar terbakar

Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di SJKT Ladang Ayer Tawar, pagi tadi. – Foto ihsan bomba

MANJUNG: Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) beberapa murid dan guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Ayer Tawar, di sini, bertukar cemas apabila sekolah rendah itu terbabit dalam kejadian kebakaran pagi tadi.

Kejadian kebakaran kira-kira jam 11.45 pagi itu membabitkan tiga bilik darjah, makmal sains, stor dan kantin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata sepasukan 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar, BBP Sitiawan, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Tawar dan PBS Pantai Remis dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 11.52 pagi.

Katanya, kebakaran mengakibatkan tiga kelas, makmal sains, stor peralatan dan kantin sekolah itu musnah 70 peratus.

“Sejurus tiba di lokasi, didapati keadaan api tidak marak dan terkawal.

“Ketika kejadian, hanya terdapat beberapa orang guru dan pelajar yang berada di sekolah itu dan tiada mangsa yang mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran membabitkan masing-masing dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT) ditamatkan jam 1.59 tengah hari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini