comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiga beranak lemas: Mangsa sedang berkelah dengan keluarga sebelum kejadian – Polis 

Oleh: Fareez Azman

KUALA KUBU BHARU: Tiga sekeluarga yang ditemui lemas di Sungai Jeram, Ngejur Jalan Batang Kaki Genting di sini dipercayai sedang berkelah bersama enam lagi ahli keluarga di tepi sungai berkenaan sebelum kejadian berlaku.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 1.14 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melakukan aktiviti riadah bersama ahli keluarganya.

“Kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh anak perempuan mangsa tergelincir ke dalam sungai dan bapa cuba untuk menyelamatkan anaknya.

“Pada masa sama anak lelaki mangsa yang lain juga turut terjun ke dalam sungai tanpa disedari oleh ibunya, menyebabkan kesemua mangsa lemas di dalam sungai tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

Ketiga-tiga mangsa ditemui orang awam di sekitar kejadian kira-kira jam 1.30 petang dan dibawa ke tepi sungai.

Bagaimanapun kesemua mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

“Pada jam 2.25 petang, ketiga tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Kuala Kubu Bharu dan dibawa ke Unit Forensik Hospital KKB untuk tindakan lanjut.

“Kes diklasifikasikan mati mengejut,” jelasnya.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Ariff Fadzil Abdul Salleh, 43, anak perempuannya Dania, 9, dan anak lelakinya Abdul Malik, 6 tahun.

Jenazah ketiga-tiga mangsa tiba di Unit Forensik, Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira jam 4.30 petang untuk proses bedah siasat.

Difahamkan jenazah tiga sekeluarga itu akan dibawa ke Kuala Lipis, Pahang untuk dikebumikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini