Tumpuan :
Kemalangan

[VIDEO] Tiga beradik maut, motosikal bertembung dengan MPV


Oleh: Fazli Ahmad

PEKAN: Tiga beradik terbunuh selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 7, Jalan Lamir dekat Kampung Langgar, di sini, hari ini.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 12:30 tengahari itu mengorbankan, penunggang motosikal, Nik Ikram Idwan Nik Mohd Khairul Hisyam, 15, dan dua adiknya, Nik Nur Faqihah, 11, dan Nik Ikram Nuqman, 5, dari Kampung Langgar, di sini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata siasatan mendapati ketika kejadian tiga beradik terbabit menaiki sebuah motosikal dari arah Kampung Lamir ke Kampung Langgar.

Katanya, motosikal terbabit dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV dari arah hadapan.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal menunggang secara melulu sehingga terbabas memasuki laluan bertentangan.” katanya menerusi kenyataan media sini hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu serta dua penumpang MPV turut tercedera manakala tiga lagi terselamat.

Katanya, mayat tiga beradik terbabit dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Loading...
Terkini