DUNGUN: Isu Balai Polis Kuala Jengai di Hulu Dungun, di sini, yang sering ditengelami banjir saban tahun akan dikemukakan kepada pihak pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan, sama ada balai polis itu perlu dibina semula secara bertingkat atau dipindahkan ke tempat lain yang lebih sesuai.
Menurutnya, Balai Polis Kuala Jengai dibina pada 1952 itu antara balai yang paling kritikal dan sering ditengelami banjir kerana lokasinya berhampiran sungai.
“Kita akui balai ini termasuk kaurters anggota sering dinaiki air sehingga paras bumbung dan sepanjang tahun ini, sudah dua kali ditengelami banjir. Kali pertama Febuari lalu dan kita sudah membaiki segala kerosakan, sekali lagi ia tenggelam pada banjir kali ini,” katanya.
Memberitahu demikian kepada pemberita ketika melawat balai polis terbabit semalam, Rohaimi berkata, banjir juga menyebabkan balai berkenaan terputus hubungan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun akibat terputus bekalan elektrik.
“Bagaimanapun, semua dokumen dan aset-aset penting, termasuk alat komunikasi dan kenderaan berjaya diselamatkan, manakala sembilan keluarga anggota dipindahkah lebih awal.
“Sebuah pondok polis di Felda Tenang Besut, turut terjejas akibat banjir dan kita anggarkan kos kerosakan dan baik pulih kedua-dua kemudahan ini sebanyak RM100,000,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga dan anggota di Balai Polis Kuala Jengai.
Katanya, dua lagi balai polis yang dinaiki air ialah Balai Polis Pasir Gajah di Kemaman dan Balai Polis Manir di Kuala Terengganu dengan penilaian kerosakan termasuk kerosakan kecil dialami balai-balai lain akibat banjir akan dilakukan.
Berhubung kes jenayah pecah rumah membabitkan kediaman mangsa banjir, Rohaimi berkata, tiada sebarang laporan diterima setakat ini dan polis sentiasa membuat rondaan sekitar kawasan bencana bagi memastikan keselamatan kediaman penduduk selamat.