PUTRAJAYA: Tiga andaian mengenai kehilangan pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Muhammad Hawari Hashim didedahkan selepas pencariannya masih menemui jalan buntu sejak dia dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu.
Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak berkata Hawari mungkin naik semula ke Kem 4 untuk melihat seorang lagi pendaki ME 2023, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56 tahun yang berhadapan masalah kesihatan sebelum dilaporkan meninggal dunia pada hari sama.
Menurutnya, ada kemungkinan juga Hawari turun secara bersendirian ke Kem 3 dan tersasar dari trek laluan, seterusnya jatuh ke kawasan berbukit yang sukar dilihat.
Manakala kemungkinan ketiga, pendaki itu tersesat ke laluan bahagian Tibet.
Katanya, sehingga kini, tiada petunjuk baharu berhubung kehilangan Hawari.
Tambah Azim, sejak hari kejadian itu, pihaknya turut mengambil inisiatif menghebahkan berita kehilangan Hawari kepada semua operator pendakian Everest sekiranya bertemu atau melihatnya di kawasan pergunungan.
“Ketika kehilangan Hawari juga, jumlah pendaki sudah berkurangan dan ramai sudah mula turun ke kem induk (EBC). Sejumlah pendaki yang masih ada lebih memberi tumpuan kepada misi menawan puncak Everest kerana mengejar masa sebelum aktiviti itu ditutup,” katanya.
Semalam, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Hawari ditamatkan dan akan disambung pada musim pendakian tahun depan selepas tidak menemui sebarang petunjuk.
Status Hawari juga dikategorikan sebagai ‘orang hilang’ (OH) kerana jasadnya masih belum ditemui sehingga kini.
Tambah Azim, pihaknya akan meuar-uarkan berita kehilangan Hawari kepada setiap pendaki bermula musim pendakian tahun depan.
Beliau yakin kaedah itu lebih menjimatkan berbanding melantik malim gunung.
Pada masa sama, beliau juga mencadangkan supaya operasi pencarian jika disambung semula diperluaskan ke laluan di bahagian Tibet.
Hawari 33 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran mencuri tumpuan apabila dilaporkan berjaya menawan puncak Everest pada jam 3.30 petang waktu Nepal, 18 Mei lalu.- BERITA HARIAN.