comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak Wajib Pakai Pelitup Muka Dalam Kapal Terbang

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa serta merta, pemakaian pelitup muka ketika menaiki kapal terbang tidak lagi diwajibkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, protokol baharu itu berdasarkan penilaian situasi semasa COVID-19 serta mengambil kira keperluan terkini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) amat menggalakkan pemakaian pelitup muka bagi kumpulan individu tertentu.

“Kumpulan individu itu adalah individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema serta individu berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung.

“Ia juga amat digalakkan bagi individu yang mengembara bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan berhubung semakan keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang, hari ini.

Menurutnya, keputusan ini adalah menggunakan pendekataan berasaskan risiko dan telah mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang dan beban kes COVID-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.

“Antaranya, pengudaraan yang baik dalam kabin dan penggunaan penapis high-efficiency particulate absorbing (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara.

“Selain itu, (ia juga mengambil kira) susunan tempat duduk ke hadapan dan kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang,” katanya.

Khairy berkata, kelonggaran pemakaian pelitup muka tersebut juga selaras dengan syor kesihatan daripada negara-negara seperti Kesatuan Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Singapura.

“Keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang bagaimanapun masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh negara yang dikunjungi,” katanya.

Pada 7 September lalu, KKM telah mengumumkan kelonggaran terhadap keperluan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dan memutuskan bahawa pemakaian pelitup muka di dalam bangunan adalah atas pilihan.

Loading...
Terkini