comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak tunggu saat akhir, penduduk tepi Sungai Pahang siap sedia berpindah

FOTO : NSTP

KUANTAN: Paras air Sungai Pahang yang kini terus meningkat mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran supaya bersiap sedia untuk berpindah pada bila-bila masa sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman, berkata selepas Maran yang mula dilanda banjir berikutan limpahan air Sungai Pahang, beberapa kampung di Pekan juga kini mula dilanda banjir.

Katanya, air sebelah hulu Sungai Pahang yang mula turun sejak beberapa hari lalu menjadi faktor utama banjir berlaku walaupun hujan tidak lagi turun ketika ini.

Penduduk yang tinggal di tepi Sungai Pahang dan mula melihat peningkatan paras air, dinasihatkan supaya berpindah lebih awal dan tidak menunggu saat akhir.

“Walaupun cuaca kini semakin baik dan hujan tidak lagi berlaku, kita masih lagi dalam Monsun Timur Laut hingga bulan depan,” katanya, dihubungi di sini semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, seramai tujuh mangsa daripada dua keluarga membabitkan penduduk di Maran kini berada di PPS Balairaya Kampung Baharu Pertanian.

Che Adam menambah, tidak lama lagi cuti persekolahan bermula, justeru ibu bapa diingatkan untuk mengawasi anak mereka supaya tidak bermain banjir termasuk parit dan kawasan air bertakung bagi mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

“Saya difahamkan kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai di Pekan yang terletak hampir dengan Sungai Pahang kini tenggelami banjir dengan paras air mencecah satu meter dalam. Kawasan sekolah berkenaan mula dimasuki air Isnin lalu.

“Tindakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan menangguhkan sesi persekolahan 141 murid sejak Selasa lalu dianggap keputusan tepat bagi menjamin keselamatan murid yang terpaksa meredah banjir,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa kampung di Pekan seperti Kampung Temai, Kampung Padang Rumbia dan Kampung Pulau Manis termasuk beberapa jalan utama telah mula dinaiki air. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini