KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak timbul isu pengusiran kepada pemilik asal hartanah secara paksa dibawah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Sebaliknya tegas Anwar, kerajaan memberi jaminan status pemilik asal hartanah tanpa mengira kaum tidak berubah dan diberi hak yang sepatutnya.
“RUU Pembaharuan Semula Bandar kita rangka lebih 10 tahun lalu, pertama tidak timbul sama sekali bahawa pemilik asal hartanah tanpa mengira kaum akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan.
“Malah status tanah asal kekal sama ada rizab melayu, atau status kekal tidak akan berubah,” jelasnya.
Tambah Anwar, kerajaan hanya mahu memastikan kawasan yang sesak, tidak selamat, serta projek terbengkalai dibangunkan semula demi rakyat.
Justeru, pelbagai sesi libat urus telah diadakan bagi mendengar setiap masalah dihadapi rakyat terutama melibatkan bangunan sudah berusia lebih 30 tahun.
“Kedua, kerajaan akan pastikan setiap pemilik asal hartanah memahami hak atau perlindungan diberikan. Mana-mana negara pesat membangun, muncul bandar-bandar yang kian berkembang tentu kita hadapi bangunan tidak selamat, kawasan sesak dan miskin dimana harus dibangunkan dan projek terbengkalai.
“Sejak 2012, 74 kali sesi libat urus (kerajaan dan pemilik tanah) diadakan dan kita ambil kira masalah dihadapi rakyat kita ambil umpama contoh saya pergi ke flat Sri Perlis di Bandar Tun Razak diantara paling lama satu kamar dan paling daif,” katanya.
Bagaimanapun tambah Perdana Menteri, cabaran utama apabila proses pengambilan alihan tanah dibawah kerajaan negeri mengambil tempoh masa yang lama.
“Ada projek dijalankan tapi ambil masa 10 tahun, ada ambil kaedah menggunakan kuasa pengambilalihan tanah, ada dibawa ke mahkamah. Dalam semua kes mahkamah, pampasan (diberikan kepada pemilik) jauh lebih rendah daripada apa yang dikemukakan.
“Kalau tanya saya, apakah kita nak biar kemudian dirujuk di mahkamah, kerana pampasan di mahkamah ikut nilai. Tapi peranan kerajaan membangun semula kawasan lebih besar, harga lebih tinggi jadi sebab itu harus diadakan undang-undang,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai komitmen kerajaan atas cadangan RUU PSB yang akan memastikan tiada pemilik tanpa mengira kaum diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan, seperti yang dinyatakan dengan jelas Perkara 13 dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.