comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak tepati masa, syarikat penerbangan bakal dikenakan tindakan

Foto hiasan

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) merancang untuk mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi kod perlindungan pengguna penerbangan Malaysia berkait tidak menepati waktu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, pihaknya sedang mencari pendekatan bagi meletakkan sasaran prestasi mengikut masa kepada syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini.

“Ini sesuatu yang kita akan cari satu pendekatan bagaimana meletakkan satu sasaran prestasi mengikut masa (on time performance).

“Kalau mereka tak dapat mencapai prestasi mengikut masa itu, maka kemungkinan ada sesuatu tindakan yang akan diambil,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai adakah kerajaan akan memberikan amaran dan mendenda syarikat penerbangan yang gagal menepati waktu.

Mengulas lanjut, Loke menjelaskan, kelewatan penerbangan mempunyai pelbagai faktor dan ada antaranya di luar kawalan syarikat penerbangan seperti cuaca.

“Cuaca umpamanya. Macam mana nak kawal cuaca? Kalau cuaca tak baik, kapal terbang macam mana nak terbang? Jadi itu kena difahami. Bukannya syarikat-syarikat penerbangan sengaja melewatkan penerbangan mereka.

“Tetapi saya setuju ada banyak perkara yang perlu kita tambah baik dan perlu kita perbaiki,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai isu harga tiket kapal terbang, Loke mengharapkan lebih banyak kapasiti penerbangan ditawarkan bagi menurunkan harga tiket kapal terbang yang ketika ini didakwa mahal dan membebankan rakyat.

Beliau berkata, syarikat penerbangan diharap berbuat demikian agar harga tiket kapal terbang dapat diseimbangkan.

Katanya, harga tiket kapal terbang juga dipengaruhi banyak faktor termasuk peningkatan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dan kenaikan harga minyak serta sewa pesawat yang menjadikan kos operasi semua syarikat penerbangan meningkat mendadak.

“Namun begitu kita amat mengharapkan supaya lebih banyak penawaran, lebih banyak kapasiti dan lebih banyak pesawat terbang.

“Sekiranya lebih banyak kapasiti maka ia dapat mengimbangkan harga tiket kapal terbang ini,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini