PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak pernah menyekat kebebasan akademik di negara ini, sebaliknya hanya mempersoalkan tindakan menjemput pensyarah luar negara yang sememangnya terkenal dengan kontroversi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, apa yang dicetuskan individu terbabit memberi kesan negatif dan memburukkan imej Malaysia.
“Saya tidak mahu mengatakan perlu rujuk (kepada KPT), ini soal kebebasan di universiti dan kita perlu hormati tetapi paling penting kalau kita nak jemput sesiapa, perlu periksa latar belakang, apa kepakaran, dalam bidang apa, adakah benar-benar sarjana yang dihormati.
“Jika anda lihat latar belakang individu ini, beberapa penulisannya, dalam konteks kolonialisme dan imperialisme, anda boleh lihat, semua orang mempertikaikan dia.
“Jadi kenapa boleh benarkan individu ini untuk datang dan mengajar kita sedangkan kita ada ramai pensyarah yang lebih baik dan bagus di Malaysia,” katanya ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan seorang profesor universiti tempatan yang berkata bahawa Universiti Malaya tidak perlu memohon maaf di atas keputusan menjemput seorang pensyarah dari Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.