Tumpuan :
Nasional

Tidak sampai 24 jam menyamun, pelaku diberkas polis

Foto hiasan

SUNGAI PETANI: Tidak sampai 24 jam melakukan kegiatan samun bersenjata di daerah ini Ahad lalu, seorang lelaki akhirnya berjaya dicekup polis di Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kaunter aduan Balai Polis Sungai Petani menerima laporan berhubung kejadian samun bersenjata di kawasan perumahan Bandar Puteri Jaya, di sini pada jam 12.36 tengah malam semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan mendapati, kejadian samun itu berlaku apabila seorang wanita warga emas berusia 68 tahun yang ketika itu berada dalam bilik rumahnya terdengar bunyi besi bergesel di rumah tamu rumahnya itu pada jam 10.30 malam.

“Mangsa kemudian keluar dari biliknya dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada di pintu ruang tamu rumahnya dan memintanya diam.

“Suspek membawa sebilah pisau bersama sebatang besi panjang dan kemudian meletakkan pisau di leher wanita itu supaya mangsa diam sambil membawanya ke dalam bilik tidur.

“Suspek kemudian menyelongkar almari untuk mencari wang dan mengambil seutas rantai tangan serta sebentuk cincin yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail. -FOTO NSTP
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail. -FOTO NSTP

Wan Azharuddin berkata, susulan itu mangsa kemudian membuat laporan polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda kemudian membuat hebahan berhubung kejadian itu ke daerah berhampiran.

Beliau berkata, pada jam 4 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara di Pulau Pinang berjaya menahan suspek lelaki terbabit.

Katanya, suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di Jalan Lunas, Kampung Tepi Sungai, Tasek Gelugor.

“Turut dirampas, seutas rantai tangan lebih kurang 21 sentimeter (sm) Dan beratnya 66.7 gram.

“Hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku melakukan kes samun bersenjatakan pisau di daerah Kuala Muda pada 17 November lalu yang bersangkut dengan kes laporan polis Sungai Petani.

“Hasil semakan mendapati, suspek mempunyai 22 rekod jenayah yang mana 12 daripadanya rekod lampau berkaitan jenayah manakala 10 lagi rekod berkaitan dadah,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392/392 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara yang boleh sampai 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi terus di talian hotline IPD Kuala Muda di talian 04-4299222.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini