Tumpuan :
Nasional

Tidak perlu teruskan garis panduan berhubung umat Islam hadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat sekitar Batu Caves sempena perayaan Thaipusam yang akan disambut 11 Februari nanti. – FOTO: NSTP

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

GOMBAK: Tiada keperluan untuk melaksanakan garis panduan bagi umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana sebagai orang Islam mesti tahu batas-batas dan adab yang dijaga.

Jelasnya, biarpun Islam adalah agama rasmi Persekutuan, namun kepentingan semua pihak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, mesti dijaga.

“Tak perlu nak bagi penjelasanan peraturan ke garis panduan tidak perlu, yang perlu orang Islam jaga akidah dia bahawa ada peraturannya, ada yang tak boleh dilanggar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat sekitar Batu Caves sempena perayaan Thaipusam yang akan disambut 11 Februari nanti. – FOTO: NSTP

“Hari ini saya hadir ya upacara masyarakat India, saya bukan masuk kepada upacara agama Hindu. Begitu juga kalau tazilan pergi ke kawasan masjid untuk majlis kenduri dan sebagainya, dia bukan pergi ke upacara agama Islam tapi untuk majlis,” katanya selepas melawat tapak Kuil Batu Caves, hari ini.

Turut serta dalam lawatan, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ujarnya lagi, tiada masalah bagi umat Islam untuk pergi ke rumah ibadat bukan Islam bagi menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Justeru, keputusan untuk tidak meneruskan cadangan tersebut akan dipersembahkan kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Perak Nazrin Shah.

Mesyuarat kabinet hari ini membincangkan perkara berhubung cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.

Perkara itu berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini