comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak perlu lanjut PLKS tukang gunting rambut asing

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) bertegas dengan pendirian menolak langkah kerajaan melanjutkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk penggunting rambut warga asing .

Ini kerana kepakaran rakyat tempatan sudah setanding dan mencukupi untuk menampung perkhidmatan itu di negara ini.

Presidennya, TN Winda Mohd Tahir berkata, kepakaran itu kini dimonopoli kebanyakan golongan belia daripada beberapa pusat kemahiran antaranya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Giatmara dan pusat akademi diiktiraf kerajaan yang berjaya melahirkan tukang gunting profesional setiap tahun.

“Sudah lama kami perjuangkan isu ini, tiada keperluan lagi untuk kita mengambil penggunting warga asing berada di Malaysia.

“Kerajaan perlu mengambil kira kepakaran warga belia yang menceburi perkhidmatan ini secara sepenuh masa.

“Saya memberi jaminan kemahiran tukang gunting Bumiputera, India dan Cina cukup untuk menampung keperluan menggunting rambut orang Malaysia,” katanya.

Beliau mengulas mengenai arahan dikeluarkan Jabatan Imigresen berhubung perkhidmatan pekerja asing menggunakan PLKS di ketiga-tiga sektor termasuk kedai gunting rambut ditamatkan secara berperingkat.

Menurut Pekeliling IMigresen bertarikh 28 Februari lalu, majikan subsektor kedai tekstil, kedai gunting dan kedai emas tidak lagi dibenarkan memperbaharui permit PLKS untuk pekerja mereka berkuat kuasa 15 Mac, namun surat pekeliling itu tidak memperincikan sebab di sebalik penamatan itu.

Bagaimanapun, beberapa pengusaha perniagaan sektor itu meminta supaya kerajaan menarik balik arahan itu yang dikatakan memberi impak kepada kelangsungan perniagaan mereka.

Winda berkata, ketika ini industri gunting rambut banyak dimonopoli pengusaha warga India yang mungkin memerlukan khidmat tukang gunting dari Tamil Nadu, India.

“Tetapi secara adil, ingin saya tegaskan di sini, kemahiran tukang gunting kita sudah setaraf dengan warga asing kerana ada antara mereka yang mengikuti kursus dan program khas untuk memantapkan kemahiran diri.

“Tidak adil sekiranya orang kita tidak diberi peluang berkhidmat di tanah air sendiri,” katanya.

Menurutnya, beliau melalui MBBA sudah lama memperjuangkan isu berkenaan supaya khidmat penggunting warga asing tidak lagi memonopoli sektor itu.

“Perjuangan kami ini sudah lama, sebelum Covid-19 melanda dunia lagi. Saya pernah berbincang dengan agensi kerajaan untuk memberi peluang kepada belia dan rakyat Malaysia memantapkan kemahiran diri serta meningkatkan ekonomi dengan tidak perlu bersaing dengan warga asing,” katanya.

Difahamkan, dianggarkan sektor itu memerlukan 5,000 pekerja asing bagi memastikan kelancarannya.

Loading...
Terkini