Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
PETALING JAYA: Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar ahli politik atau mana-mana ejen luar supaya tidak terbabit dengan keputusan berkaitan perolehan aset ketenteraan dianggap satu tindakan yang wajar.
Menurut penganalisis politik, Profesor Dr. Azmi Hassan, saranan itu secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya sebarang ketirisan dalam pemerolehan aset ketenteraan.
Ujar beliau lagi, perlu diingat, pertahanan negara bukan sahaja melibatkan isu teknikal yang memerlukan kepakaran tetapi turut melibatkan isu geopolitik serantau dan antarabangsa.
Oleh yang demikian, penglibatan golongan-golongan profesional amatlah diperlukan dan diberikan tanggungjawab bagi pemerolehan aset ketenteraan ini.
Penglibatan ahli politik dalam isu seperti ini masih lagi diperlukan namun ianya lebih baik jika diwujudkan satu jawatankuasa terplilih Parlimen yang memfokuskan kepada bidang pertahanan.
“Jawatankuasa terpilih wajar dilakukan, penglibatan seperti ini tidak boleh dilakukan secara semberono di mana 222 ahli Parlimen ataupun di luar Parlimen mengambil bahagian di dalam isu pemerolehan aset pertahanan atau dasar pertahanan itu”
“Isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) umpamanya adalah sebagai contoh di mana apabila adanya campur tangan politik, ia mewujudkan isu ketirisan yang merencatkan pemerolehan kapal tersebut.
“Apabila kemelut LCS timbul, maka ianya menjadi isu politik dan bila ianya menjadi isu politik, keperluan kapal LCS ini sudah jauh ke belakang dan tidak lagi menjadi kepentingan”
Jelas, isu kapal LCS ini menjadi satu perdebatan yang hangat apabila adanya campur tangan politik sedangkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan aset ini secepat mungkin demi memelihara kedaulatan perairan negara.
“Apabila sudah menjadi isu politik, setiap keputusan melibatkan kapal LCS itu menjadi lebih sukar dan kucar-kacir ”
Tambah Prof. Azmi lagi, penglibatan golongan yang tidak profesional dalam isu aset ketenteraan ini juga boleh mengakibatkan berlakunya percanggahan keputusan yang menyentuh isu teknikal dan ia menyukarkan pihak kerajaan dan tentera.
“Kemungkinan kumpulan profesional dari luar ini mempunyai kepentingan atau agenda tertentu yang tidak selari dengan dasar pertahahan dan strategi negara”
Menyentuh mengenai kenyataan Perdana Menteri mengenai rundingan secara terus perlu dilakukan, Prof. Azmi berpendapat, aset pertahanan negara amat penting di mana ia memerlukan spesifikasi teknikal yang tertentu dan perlu dirahsiakan.
“Adakalanya rundingan secara terus perlu dilakukan, bukan secara tender terbuka, sebab itu penting apabila kontrak secara terus diberikan kepada satu syarikat, rundingan perlu dilakukan supaya spesifikasi asalnya dapat dituruti,” katanya.