comscore
Tumpuan :
Nasional

Tidak patuh pengurusan kewangan, negara rugi lebih RM150 juta

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ketidakpatuhan terhadap pengurusan kewangan menyebabkan isu kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM158.08 juta pada 2021.

Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 mengenai Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan, jumlah itu membabitkan RM116.95 juta kehilangan atau kerugian wang awam, RM26.03 juta pembayaran tidak teratur manakala RM15.10 juta adalah pembaziran.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, sebanyak tujuh tajuk pengauditan pematuhan telah dilaksanakan di tiga kementerian dan empat jabatan Persekutuan dengan jumlah semakan audit berjumlah RM1.127 bilion.

Ia membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nik Azman berkata, sebanyak 22 syor untuk tindakan penambahbaikan oleh kementerian dan jabatan Persekutuan berkenaan.

“Secara keseluruhannya, terdapat kelemahan dalam kutipan duti kastam bagi kenderaan import di Pulau Bebas Cukai dengan duti kastam berjumlah RM72.32 juta terkutip kurang disebabkan syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi serta pengiraan duti eksais tidak tepat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, LKAN turut mengenal pasti kelemahan dalam terimaan dana berbentuk kewangan dan aset serta bayaran Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) di bawah perjanjian konsesi pengurusan industri padi dan beras negara.

“Setakat 31 Disember 2021, dana obligasi sosial tahun 2021 berjumlah RM37 juta belum diterima oleh MAFI, manakala SSHP berjumlah RM0.73 juta dibayar kepada pesawah yang telah meninggal dunia.

“Pembekalan jentera bernilai RM3.12 juta tidak mematuhi perjanjian konsesi dan jentera bernilai RM0.87 juta belum digunakan tetapi telah rosak,” katanya.

LKAN dibentangkan di Dewan Rakyat jam 10 pagi tadi.

Loading...
Terkini