![](https://media.buletintv3.my/2025/02/lori-jpj.jpg)
RAWANG: Tidak mematuhi lampu isyarat menjadi kesalahan tertinggi direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi operasi penyamaran sempena Op Khas Tahun Baharu Cina yang dijalankan bermula 20 Januari lalu sehingga semalam.
Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, 127 kes membabitkan kesalahan itu daripada keseluruhan 298 kes sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata, kesalahan itu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 72(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM300 sehingga RM2,000.
Katanya, kesalahan berjadual lain yang direkodkan adalah memandu di lorong kecemasan (66), memandu di lorong kanan secara berterusan (39), tidak memakai topi keledar (35), menggunakan telefon bimbit (21), tiada lesen memandu dan insurans (10).
“JPJ menggunakan kenderaan tidak berlogo dan tidak mengenakan pakaian seragam semasa melakukan penyamaran. Apabila ada kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan, kita akan tahan untuk pemeriksaan dan mengeluarkan kompaun.
“Penyamaran ini sebenarnya dilakukan sepanjang masa supaya pengguna jalan raya tahu bahawa JPJ sentiasa melakukan pemantauan,” katanya selepas Op Khas Tahun Baharu Cina di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah Utara, di sini, hari ini.
Dalam operasi khas berkenaan, Ahmad Kamarunzaman berkata, pihaknya memfokuskan objektif strategik penguatkuasaan iaitu memantau kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam selain kesalahan berjadual.
“Tujuan operasi ini juga bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian. Maka kita tidak akan berkompromi dengan pengguna yang dikesan melakukan tujuh kesalahan berjadual,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.